RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 5 Disember 2009

JIKA MAHU TOK GURU TERSUNGKUR, LANGKAH MAYAT HUSAM DULU

Oleh: WFAUZDIN NS

LOJIK dan munasabah jika Perakexpress mengeluarkan blog Kickdefella dari senarai blog yang Pro PR ( Baca sini ). Ini bermakna blog tersebut mungkin boleh disenaraikan di dalam blog yang pro Umno atau Bn atau pun juga blog yang bersifat neutral. Tetapi, sehingga kini saya belum melihat lagi blog kepunyaan Syed Azidi itu bersifat neutral. Kali terakhir saya jengok blog beliau dan membaca tulisannya yang mengatakan Tok Guru Nik Aziz `bersandiwara' apabila beliau melihat menantu Tok Guru belum lagi meletakkan jawatannya selaku CEO PMBK.

Sekarang ini, dilihat tugas blog tersebut `menyerang' Tok Guru setelah `serangan'nya terhadap Ariff Fahmi tidak mendapat layanan yang diinginkannya. Apabila serangan beliau terhadap Tok Guru berterusan, maka apa beza blog tersebut dengan blog `pencacai' yang pro Umno? Terbaru, menantu Tok Guru telah pun umumkan tarikh beliau akan melepaskan jawatan di dalam PMBK. Tidak mustahil selepas ini Kickdefella akan berkata itu juga `sandiwara' Tok Guru dengan melengah-lengahkan perletakan jawatan menantunya ke tahun hadapan. Jika boleh, beliau mungkin mahu Ariff Fahmi berhenti serentak dengannya.

Serangan Kickdefella mungkin dikatakan hebat untuk menjatuhkan Tok Guru kerana ada yang berkata Kickdefella mampu menjatuhkan Pak Lah sebelum ini. Betulkah begitu? Nampaknya jauh panggang dari api. Baru semalam Tok Guru telah diperlihatkan betapa rakyat Kelantan masih memerlukannya sebagai Tok Guru dan juga MB Kelantan. Bahkan, YB Husam Musa yang dikatakan `bos' kepada Kickdefella sendiri menjadi `hero' mempertahankan MB Kelantan itu. Jika Kickdefella ingin melihat Tok Guru tersungkur, langkah dulu mayat Husam. Ini lah yang mengecewakan puak-puak Umno mahu pun puak-puak UG di Kelantan jika masih ada lagi puak-puak itu.

Mungkin ada yang berkata, Husam juga `bersandiwara' kerana dilihat menyokong kuat Tok Guru. Jika Husam ingin bersandiwara, bodohlah Husam kerana membuat kenyataan tidak memerlukan pencalonan untuk beliau menjadi MB Kelantan selepas Tok Guru. Mungkinkah Tok Guru boleh dikatakan bersandiwara apabila menyebut betapa ruginya Kelantan malahan negara ini jika kehilangan Husam. Sebenarnya Kickdefella sudah kehilangan modal dan arah perjuangannya. Meski pun beliau dikatakan orang kuat Husam tetapi beliau bukan anak didik Husam. Husam tidak mendidiknya menjadi seperti sekarang seperti `anjing menyalak bukit'.

Tahniah kepada rakyat Kelantan yang telah memberikan sokongan padu kepada Tok Guru. Biar pun dikatakan Tok Guru mendapat nasihat tidak betul dari orang kanannya, namun Kelantan telah berjaya ditadbir dengan baik dan bersih selama 20 tahun. Mungkin di Terengganu dahulu, penasihatnya terlalu `betul dan berjurus' sehingga PAS dapat bertahan sepenggal di Terengganu. Syabas, Orang Kelate!! / Kembali ke laman asal di sini.

Pusat perlu hormati kontrak perjanjian petroleum-Ku Li

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kerajaan Persekutuan digesa menghormati perjanjian kerajaan negeri Kelantan dengan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) berhubung pembayaran 5 peratus daripada keuntungan operasi carigali petroleum di luar pantai Kelantan kepada negeri itu.

Bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaliegh Hamzah dalam blognya http://razaleigh.com memberitahu, hak yang diperuntuk perlembagaan kepada rakyat kelantan untuk mendapat royalti kini sedang dinafikan Pusat.

Keengganan pusat memberi royalti kepada Kelantan katanya bukan sahaja melanggar Akta Pembangunan Petroleum 1974, malah lebih besar dari itu ianya akan memberi kesan dan permasalahan melaupaui negeri Kelantan.

Menurutnya, dengan menidakkan perjanjiaan antara Kelantan dengan Petronas itu, bermakna kerajaan Pusat juga menidakkan perjanjian sama terhadap negeri-negeri lain sekaligus menafikan hak rakyat negeri tersebut.

Selain itu katanya, kerajaan persekutuan boleh dipersoal kerana dilihat cuba menafikan kewajipan Petronas untuk membayar 5 peratus kepada mana-mana negeri pengeluar minyak seperti termaktub dalam kontrak perjanjian.

Sedangkan katanya, Petronas pada hakikatnya terikat dengan kontrak tersebut dan wajib membayar jumlah 5 peratus dari keuntungan mereka secara terus kepada negeri terlibat.

Tindakan tersebut katanya menimbulkan persoalan dan boleh memberi impikasi yang lebih besar kepada negeri-negeri pengeluar minyak yang lain, khususnya Sabah dan Sarawak.

Keadaan Kelantan, Sabah dan Sarawak adalah serupa dan membuat perjanjian sama dengan Petronas.

Jika Kelantan tidak diberi hak royalti persoalan timbul adakah bermakna kedua-dua negeri di borneo itu juga bakal menerima nasib yang sama.

Beliau turut menyelar sikap kerajaan Persekutuan yang dilihat cuba campurtangan terhadap perjanjian yang dibuat antara negeri-negeri pengeluar minyak dengan Petronas.

Tindakan campurtangan itu katanya boleh mengakibatkan rakyat meragui integriti dan keihklasan kerajaan dalam menghormati kesucian kontrak dan undang-undang.

"Saya harus menegaskan bahawa PETRONAS terikat oleh mereka dan bahawa kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam pemenuhan mereka.

"Jangan bercakap tentang pelaburan untuk memacu ekonomi kita ke tahap yang lebih tinggi, jika kita gagal untuk memahami pentingnya mematuhi kewajipan kontrak," tegasnya./Harakahdaily

BOS SPRM DITAMATKAN KONTRAK AWAL

Ahmad Said undur awal, Abu Kassim ketuai SPRM mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kassim Mohamed dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya yang baru mulai 1 Januari ini menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan semalam berkata Ahmad Said, 57, telah mengemukakan notis bertulis supaya kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya, yang sepatutnya tamat pada 25 Mei 2010, dipendekkan pada 31 Disember ini.

“Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Abu Kassim, 48, sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baru berdasarkan peruntukan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” kata Sidek dalam satu kenyataan.

Abu Kassim pernah menjadi Pengarah Perancangan dan Koordinasi Dasar di ibu pejabat BPR, Pengarah BPR Perak dan Pulau Pinang, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan dipinjamkan sebagai Ketua Pegawai Integriti, Amanah Raya Berhad.

Abu Kassim dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) BPR pada 1 Jan 2007, dan dengan berkuat kuasanya akta baru pada 1 Januari 2009, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Sidek berkata kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahmad Said kerana sumbangannya. - Bernama

TIMBALAN MENTERI AKAN LETAK JAWATAN?

Sulaiman berhasrat letak jawatan Timbalan Menteri - PM

Akhirnya desas-desus mengenai kedudukan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memaklumkan bahawa anak kepada Ketua Menteri Sarawak itu telah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan Timbalan Menteri berkenaan.

Bagaimanapun apabila ditanya kenapa Sulaiman hendak melepaskan jawatan dan adakah beliau memberikan alasan, Najib menegaskan, ia berkaitan dengan alasan peribadi.

“Dia telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan tapi saya belum berunding dengan Pengerusi BN Sarawak. Nantilah dulu apakah keputusannya,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Kuala Lumpur, Jumaat malam.


Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Sulaiman ekoran kelibat beliau tidak kelihatan sejak beberapa bulan lalu. Malah beliau juga sudah lama tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat yang kini sedang berlangsung.

Berdasarkan desas-desus yang berlegar beliau kini berada di luar negara dan tidak lagi menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Sulaiman adalah Ahli Parlimen Samarahan dan dilantik sebagai Timbalan Menteri selepas memenangi pilihan raya umum pada Mac 2008.

Sebelum menceburi bidang politik Sulaiman adalah bekas Pengerusi RHB Capital dan menerajui syarikat Cahaya Mata Sarawak (CMS) yang memiliki pegangan ke atas RHB Capital.

Sementara itu Bernama melaporkan Sulaiman yang disebut-sebut telah meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, masih merupakan Timbalan Menteri, dalam hubungan dengan Parlimen, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang surat peletakan jawatan rasmi daripada Sulaiman, yang dilaporkan dalam portal berita The Malaysian Insider hari ini sebagai telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas.

Beliau dikatakan menyebut masalah kesihatan sebagai sebab utama dalam keputusannya untuk meninggalkan pentadbiran persekutuan.

"Saya nampak beliau menghadiri persidangan Parlimen minggu lepas dan beliau masih duduk di kerusi Timbalan Menteri," katanya ketika ditanya mengenai spekulasi itu.

Beliau berkata di bawah keadaan biasa, menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk memaklumkan kepada Dewan Rakyat sebaik sahaja peletakan jawatan seseorang anggota Kabinet persekutuan diterima bagi membolehkan kerusinya diatur dan ditandakan semula semasa persidangan berlangsung.

Sementara itu, Sulaiman, yang dipercayai berada di luar negara, tidak menghadiri jamuan malam yang dijadual dianjurkan beliau bagi meraikan sekumpulan delegasi dari Sarawak iaitu dari Majlis Pembangunan Petani Batang Lupar dan kawasan Parlimen Bandar Kuching di Kuala Lumpur pada Rabu.

Sulaiman, Naib Presiden Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), adalah anak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang beliau gantikan sebagai Anggota Parlimen Kota Samarahan selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008. – 4/12/2009/Agendadaily.com

Ahad, 29 November 2009

PAS TIDAK SEMPURNA, JAWAPAN BUAT EZAM

Oleh: WFAUZDIN NS

AKHBAR Sinar Harian hari ini melaporkan kenyataan raja sesumpah Ezam yang sebelum ini begitu lama menyepikan diri. Kali ini raja sesumpah seperti sudah bosan untuk menghentam bekas sifunya DS Anwar setelah kali terakhir beliau menghentam seorang wanita iaitu DS Wan Azizah. Apabila DS Anwar dan DS Wan Azizah tidak berselera untuk menyahut cabaran bodoh dari Ezam, maka Ezam kini beralih pula kepada parti PAS sebuah parti yang dahulunya Ezam sanjung sebagai parti yang layak memerintah Selangor.
Akhbar Sinar hari ini mengeluarkan kenyataan raja sesumpah bahawa parti PAS bukan sempurna. Islam itu sempurna sedangkan Parti Islam adalah satu perkara yang lain dan tentunya tidak sempurna. Saya sendiri tidak tahu semenjak bila kita mengatakan PAS itu sempurna dan bila pula kita menganggap bahawa PAS itu agama? Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS juga bukan maksum dan sudah tentu parti yang diterajuinya tidak sempurna. PAS adalah wadah untuk memperjuangkan Islam, manakala Umno pula wadah untuk memperjuangkan semangat kebangsaan. Jauh bezanya perjuangan kedua-dua parti ini dan raja sesumpah sanggup menyembah parti yang bersifat kebangsaan dan menentang parti yang memperjuangkan agama.
Oleh yang demikian, tidak hairan apabila Ezam sentiasa mencari kelemahan PAS untuk menghalalkan tindakannya menjilat ludah beliau untuk kembali bersekongkol dengan Umno yang suatu ketika beliau menganggap sesiapa yang menyertai Umno hanyalah untuk kebendaan. Ezam kini tiada arah di dalam perjuangannya setelah terperangkap dengan kebijaksanaan Umno memerangkap beliau dengan umpan keduniaan. Beliau kini terpaksa mencari salah dan silap PAS setelah beliau gagal untuk meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap PKR. Memang benar PAS tidak sempurna tetapi sehingga kini tidak seorang pun pemimpin PAS yang didapati terlibat dengan rasuah atau penyelewengan jauh sekali melakukan kezaliman terhadap rakyat. Bagaimana dengan parti yang dijunjung oleh Ezam? Kredibiliti Presiden Umno sendiri pun dipertikaikan dengan berbagai salah laku.
Rakyat sudah dapat menilai apa yang berlaku terhadap PAS cuma isu kepimpinan di peringkat dalaman dan bukan isu yang melibatkan kepentingan rakyat. Itu pun isu yang terlalu mudah akan dapat diselesaikan kerana kepimpinan PAS bukan seperti Umno. Umno berebut jawatan kerana inginkan kebendaan dan kepentingan sendiri, sedangkan PAS mahukan perubahan hanyalah untuk memperkuatkan perjuangan membela Islam dan rakyat. Sebagai contoh, apa yang berlaku di Kelantan amat menakjubkan kita. YB Husam Musa berkeras tidak mahu dicalonkan sebagai MB Kelantan, begitu juga dengan YB Nik Amar. Pernahkah ini berlaku dalam Umno?
Sekali lagi ingin kita nasihatkan Ezam agar berfikirlah dengan hati dan iman jika beliau masih beriman. Tanyalah pada diri Ezam sendiri, antara Umno dan PAS, manakah yang lebih baik dan telus? Jawablah dengan jujur dan jangan menipu diri sendiri. Jika beliau rasa malu dan segan untuk kembali bersama dengan rakyat untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan, sewajarnya beliau diam sahaja kerana apabila beliau bersuara menunjukkan bukti betapa kata-katanya dahulu memang benar bahawa `hanya mereka yang mahu kebendaan sahaja yang sanggup duduk dalam Umno'. /kembali ke laman asal.